ISKANDAR PUTERI: Walaupun diberi tentangan hebat, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap membuktikan skuad itu jaguh di laman sendiri dengan menewaskan Shan United FC (SHUFC) 3-0 pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.
Skuad Harimau Selatan semakin menghamoiri pusingan separuh akhir menumbangkan pasukan pelawat dari Myanmar itu.
Kemenangan tersebut membolehkan JDT skuad memintas kelab Vietnam, Nam Dinh untuk berada di posisi teratas Kumpulan B selepas mengutip 10 mata daripada empat perlawanan.
Pada perlawanan itu, Xisco Munoz membariskan tiga pemain warisan Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel setelah Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan seketika penggantungan 12 bulan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap mereka.
Tidak menunggu lama apabila seawal minit ketiga, JDT mula menggasak kubu lawan berpunca hantaran Silang Nacho Mendez kepada Jonathan Silva di sayap kiri namun rembatan yang dilakukan pemain pertahanan itu jauh tersasar.
Selang lima minit kemudian giliran Jairo Da Silva mencipta gerakan gol, malangnya hantaran silang ke dalam kotak penalti yang dilakukan sedikit tinggi dan gagal disempurnakan dengan baik Figueiredo.
JDT hampir meledak pada minit ke-13 setelah Jairo melonjak tinggi untuk menanduk bola ke gawang namun pemain pertahanan, Ye Min Thu berjaya mengeluarkan bola di atas garisan gol.
Semasa Harimau Selatan itu rancak membuat serangan, anak buah Han Win Aung melakukan serangan balas dan hampir mengejutkan pasukan tuan rumah namun rembatan Mauricio Moraes pada minit ke-31 sedikit tersasar.
Pada minit ke-36, giliran Mendez menguji kekebalan gawang SHUFC namun tendangan deras dari luar kotak penalti tepat ke dakapan penjaga gawang, Kyaw Zin Phyo.

Figueiredo sekali lagi berada di posisi tepat untuk memecahkan kebuntuan namun tandukan yang dilakukan dari jarak dekat sedikit tersasar melewati palang gol.
Bersambung separuh masa kedua, JDT semakin menggandakan asakan dan hasilnya, Oscar Arribas berjaya membuka jaringan pada minit ke-66.
Seminit berselang, giliran pemain gantian, Bergson Da Silva mencatat nama selaku penjaring apabila berjaya.
Beliau melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum merembat leret menewaskan penjaga gol, Kyaw Zon Phyo pada minit ke-67.
Bergson sekali lagi menggamatkan stadium apabila menjaringkan gol ketiga yang juga gol kedua peribadinya pada minit ke-71.
Selesa mendahului 3-0 bagaimanapun dilihat masih belum mampu menghentikan asakan bertali arus skuad Harimau Selatan itu ke gawang pelawat dalam usaha menambah jaringan.
Bagaimanapun, tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan hingga ke wisel penamat.
Skuad Harimau Selatan akan berdepan Nam Dinh pada aksi terakhir peringkat kumpulan bagi merebut kedudukan pertama pada 5 Februari depan.- Majestic
