KOTA TINGGI: Seramai 157 penduduk yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) kerana terjejas akibat kebakaran tanah gambut di Taman Bayu Damai, Pengerang di sini sejak Jumaat lalu, dibenarkan pulangke rumah masing-masing pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus berkata, semua 51 keluarga tersebut sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana keadaan bertambah baik.
“Kawasan kebakaran tanah gambut di kawasan Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai telah dapat dikawal dan dipadam sepenuhnya.


“Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan perumahan penduduk yang terjejas juga telah semakin menurun ke tahap normal.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi bersetuju dua PPS di Dewan Taman Bayu Damai dan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal ditutup pukul 10 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Pejabat Daerah Kota Tinggi merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Johor, wakil rakyat, semua agensi peringkat negeri dan daerah serta semua pihak yang terlibat dengan pengurusan bencana itu .
Jumaat lalu, penduduk di taman berkenaan dipindahkan ke dua PPS tersebut secara berperingkat-peringkat kerana kebakaran tersebut berpotensi menjejaskan kesihatan.
Kebakaran itu menjejaskan kehidupan harian penduduk apabila kepulan asap tebal menyelubungi kawasan perumahan dan menyebabkan kesukaran bernafas.
Ini termasuk mengurangkan jarak penglihatan selain kawasan perumahan masih diliputi kepulan asap putih tebal dan bau asap yang kuat.- Majestic
