Foto: Hiasan
JOHOR BAHRU: Seorang doktor ditahan bagi membantu siasatan kes isteri dan anaknya yang ditemukan mati dengan kesan dikelar pada leher di Bandar Dato’ 0nn, di sini pada 31 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 8.20 pagi di rumah mereka melibatkan mangsa iaitu isterinya yang bekerja sebagai akauntan, 36, dan anak lelakinya berusia empat tahun.
“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan pada 3 Januari lalu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Khas D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama-sama Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan suspek.
“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 33 tahun dan merupakan suami mangsa, bekerja sebagai doktor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semasa ditemui mangsa wanita tersebut ditemui dengan kecederaan kelar pada bahagian leher bersama-sama anaknya dalam keadaan kesan kebiruan di bahagian muka dipercayai akibat tekupan.
Katanya, kedua-dua mayat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk proses bedah siasat.
Jelasnya, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati kematian mangsa wanita adalah disebabkan asphyxia related death manakala anaknya disebabkan smothering.
Pihaknya percaya kedua-dua kematian tersebut berunsur jenayah.
Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Tambahnya, kes juga disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Ab Rahaman menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan dan prosiding mahkamah.
Suspek katanya, akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini esok.- Majestic
