Doktor didakwa bunuh isteri, anak

JOHOR BAHRU: Seorang doktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan membunuh anak dan isterinya, mengubah kedudukan mayat serta lupus kuku palsu milik isterinya, bulan lalu.

Tertuduh, Chia Tong Hong, 34, hanya menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di dua Mahkamah Majistret di sini secara berasingan.

Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab dan Majistret A Shaarmini.

Bagi dua pertuduhan itu, lelaki terbabit didakwa dengan niat membunuh isterinya, Phun Lai Ling, 37, dan anak lelakinya, Aaden Chia Yee Heng, 5, sehingga menyebabkan kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Perjiranan 11/12, Bandar Dato’ Onn di sini, antara pukul 9.50 malam hingga 10.34 malam, 30 Disember 2025.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan yang boleh sampai 12 kali, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Atifah Hazimah, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi satu pertuduhan dengan sengaja menghalang tugas polis dalam menjalankan siasatan.

Tertuduh didakwa mengubah kedudukan mayat si mati iaitu anaknya dalam siasatan kes Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbuatan dilakukan di lokasi sama, pukul 8.10 pagi, 31 Disember 2025 dan dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam atas tuduhan melupuskan kuku palsu isterinya itu dengan niat untuk mengelak daripada hukuman undang-undang, di lokasi, masa dan hari yang sama.

Tertuduh yang juga anak tunggal itu didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Nurul Fatihah Mohd Nizam dan Siti Aishah Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Bernard George.

Tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap tertuduh kerana dia menghadapi kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Mac ini bagi serahan dokumen sementara menunggu laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA), kimia, forensik dan toksikologi.

Semalam, portal ini melaporkan seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai akauntan ditemui maut dengan kesan kelar pada lehernya bersama-sama anaknya yang dalam keadaan kebiruan di bahagian muka dipercayai akibat tekupan juga sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, pada 3 Januari lalu polis menahan seorang lelaki tempatan, bekerja sebagai doktor yang juga suami kepada mangsa wanita terbabit.

Beliau dilaporkan berkata, sebilah pisau dan satu bantal serta sarungnya, turut dirampas.- Majestic

More From Author

Doktor ditahan disyaki bunuh anak, isteri

JDT belasah PDRM 10-1