JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mencabar UMNO Johor meletakkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh sebagai ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN).
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Johor, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, poster boy BN itu boleh diletakkan khususnya di kerusi-kerusi campuran dan majoriti bukan Melayu seperti kawasan Yong Peng dan Pekan Nanas.
“Cabaran ini saya kemukakan secara terbuka. Saya harap UMNO dan BN Johor berani menyahutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Exco Pemuda Amanah Pusat itu berkata, cabaran tersebut dibuat selepas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berhubung isu poster boy atau calon Menteri Besar Johor daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRN nanti.
“Terus terang saya terkilan kerana sewaktu PRN Sabah yang lalu, setahu saya BN sendiri tidak menamakan sebarang calon Ketua Menteri lebih awal.
“Adakah itu bermaksud BN Sabah ketika itu tiada calon yang layak atau berkualiti? Sudah tentu tidak. Maka hujah bahawa ketiadaan poster boy melambangkan kelemahan adalah hujah yang tidak konsisten dan selektif,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap UMNO dan BN, khususnya pemuda akan konsisten dengan nada dan keberanian seperti yang ditunjukkan di Dewan PWTC.
Katanya, UMNO lantang memainkan isu sensitif seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan insiden bendera terbalik.
“Bukan bersikap bermuka dua, di depan menampilkan calon yang fasih Mandarin demi undi, di belakang terus menghidupkan politik perkauman sempit dan ketakutan.
“Rakyat Johor bukan naif. Mereka menilai kejujuran, keberanian dan keikhlasan, bukan lakonan bermusim menjelang pilihan raya,” ujarnya.
Terdahulu Noor Azleen mencabar Pakatan Harapan (PH) menamakan calon Menteri Besar Johor, susulan kesediaan parti itu bertanding semua kerusi mengikut konsep free for all pada PRN akan datang.
Noor Azleen dilaporkan berkata, rakyat negeri itu pastinya berminat untuk mengetahui poster boy atau calon menteri datang dari gabungan itu.
Cabaran Noor Azleen itu selepas Ketua PH Johor, Aminolhuda Hassan yang berpendapat konsep free for all mungkin pilihan terbaik bagi menyelesaikan kebuntuan mewujudkan kerjasama BN di negeri itu.
Aminolhuda berkata, menerusi pendekatan itu semua parti boleh bertanding di kerusi yang dituntut sekali gus mengelakkan polemik ‘kerjasama perpaduan’ seperti di peringkat persekutuan.
Menurut Ahli Parlimen Sri Gading itu, cadangan tersebut juga dibuat memandangkan tiada kerjasama BN-PH dalam pentadbiran Johor.- Majestic
