JOHOR BAHRU : Dua sahabat karib yang juga anggota sindiket ceti haram atau ‘along didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan khianat menggunakan api ke beberapa kediaman pada November dan Disember tahun lalu.
Walau bagaimanapun, Adrian Arvin, 26, dan S. Kaarthivi Raj, 27, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim dan Mohd Zamir Suhaimee.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua rakan karib itu didakwa telah melakukan khianat menggunakan bahan api dengan membakar bahagian hadapan sebuah rumah hingga menyebabkan kerosakan pada harta tersebut.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Kampung Baru Ban Foo, Ulu Tiram di sini kira-kira jam 1.45 pagi 19 November lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak bekerja itu diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 23 Februari depan sebagai tarikh sebutan kes dan lantikan peguam.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pendakwaan khianat menggunakan api dengan membakar lantai rumah, membakar pakaian dan ampaian baju serta membakar garaj rumah tiga kediaman berbeza.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Kemajuan 22, Taman Universiti, Skudai; Jalan Delima 1, Taman Kota Masai, Pasir Gudang serta Jalan Bestari 4 di sini kira-kira jam 1.42 pagi 8 November hingga 4.18 pagi 6 Disember lalu.
Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin keseluruhan RM28,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syafiqah Sha’ari dan Siti Fatimah Mamu, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam sembilan kes khianat dengan api di beberapa daerah di negeri itu.
Ketika ditahan, kedua-dua suspek dipercayai sedang dalam perjalanan ke sebuah rumah di sekitar Buloh Kasap, Segamat untuk melakukan perbuatan membaling molotov ke atas kediaman mangsa.
Pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek menemukan sebotol kaca berisi minyak petrol dipercayai bom molotov serta sekeping nota ugutan.
Modus operandi kedua-dua suspek adalah menerima arahan daripada sindiket ahlong dan melaksanakan perbuatan khianat dengan api sebagai ugutan dengan upah antara SGD300 hingga SGD400.- Majestic
