KLUANG: Jumlah tunggakan bayaran sewa rumah mencecah RM168,290 walaupun kadar sewa bulanan hanya RM140 dan tidak pernah dinaikkan sejak mula diperkenalkan pada 2007.
Itulah keadaan yang berlaku ke atas sewaan rumah di Blok E, Flat Haji Manan yang dikendalikan oleh Pejabat Daerah Kluang kepada penghuni yang sudah menghuni lebih 15 tahun lalu dan diberikan kemudahan membayar secara ansuran setiap bulan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah berkata, Blok E Flat Haji Manan ini berbeza dengan Blok A,B,C dan D yang dikawal selia pengurusannya oleh
Perbadanan Perumahan Rumah Johor (PPRJ).
Rumah sewa kerajaan itu dikendalikan sepenuhnya pengurusan oleh Pejabat Daerah Kluang dan 10 penyewa yang telah keluar tanpa memaklumkan pihak pengurusan tertunggak bayaran sewa rumah antara RM1,680 hingga RM10,220.
“Kini blok berkenaan dihuni seramai 44 keluarga (penyewa) daripada 64 pintu yang ada, walaupun terkekang dengan jumlah tunggakan sewa rumah yang tinggi, namun kerja-kerja penyelenggaraan tetap dilakukan demi keselesaan penyewa.
“Sudah beberapa kali sesi perbincangan dan saya telah merayu kepada pihak pengurusan supaya diberi peluang kepada penyewa untuk selesaikan bayaran secara ansuran tetapi masalah ini masih terus berlaku,”katanya melalui kenyataan dalam akaun Facebook miliknya hari ini.
Syed Hussein berkata demikian ketika diminta mengulas operasi penguatkuasaan oleh pihak pengurusan yang dipolitikkan oleh pihak tertentu bagi memburukkan reputasi kerajan negeri terhadap penghuni di kawasan flat berkenaan.
Menurutnya lagi, satu perbincangan telah dilakukan agar agar bangunan Blok E ini diserahkan kepada pihak PPRJ untuk diuruskan memandangkan perbadanan tersebut mempunyai Akta penguatkuasaan yang lebih teratur dan lebih banyak peruntukkan boleh disalurkan yang akan memberi ekosistem lebih baik buat semua penyewa.
“Sehubungan itu, dakwaan mengatakan samada wakil rakyat terdahulu hingga sekarang tidak membela nasib penghuni di Flat ini adalah tidak benar kerana sebagai pemimpin dikawasan ini, kami tahu apa yang terbaik untuk mereka,” katanya. – Majestic
