JOHOR BAHRU: Lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam di bawah Majlis Penyelaras Gabungan NGO-NGO Melayu Negeri Johor (GABUNG Johor) hari ini menyatakan solidariti dan sokongan penuh terhadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Naib Presiden GABUNG, Abdullah Mohd Yusof berkata, gabungan itu amat kesal dengan satu hantaran yang disifatkan sebagai tidak wajar dan mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat Johor. Menurut beliau, GABUNG Johor berdiri teguh mempertahankan institusi diraja Johor serta menolak sebarang bentuk penghinaan atau sindiran yang boleh menjejaskan keharmonian negeri.
“GABUNG Johor sekeras-kerasnya membantah tindakan berkenaan dan menuntut agar pihak yang terlibat memohon maaf secara terbuka kepada Pemangku Sultan Johor serta segera memadamkan hantaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdullah menegaskan, institusi diraja Johor merupakan tonggak kestabilan dan simbol perpaduan rakyat, justeru sebarang perbuatan yang mencemarkan nama baik institusi itu perlu ditangani dengan tegas mengikut lunas undang-undang. Sehubungan itu, beliau turut menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap Fahmi Redza bagi memastikan kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Menurutnya lagi, sokongan padu yang ditunjukkan oleh NGO-NGO Melayu Islam membuktikan kesepaduan masyarakat Johor dalam mempertahankan kepimpinan negeri. “GABUNG Johor sentiasa berada di belakang Pemangku Sultan Johor dan akan terus memainkan peranan sebagai suara rakyat dalam mempertahankan maruah negeri serta institusi diraja,” ujarnya.
Tambah Abdullah, pihaknya berharap semua pihak lebih berhemah dalam menggunakan platform media sosial serta menghormati sensitiviti masyarakat majmuk. Beliau menegaskan bahawa kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab agar keharmonian dan perpaduan yang dinikmati rakyat Johor terus terpelihara. – Majestic
