ISKANDAR PUTERI: Dua wartawan ‘cedera’ manakala sembilan lagi pengamal media termasuk jurufoto dan jurukamera terselamat apabila terlibat dalam insiden kebakaran di tingkat enam sebuah bangunan di Forest City, di sini hari ini.
Kejadian itu berlaku ketika satu sidang akhbar sedang berlangsung, menyebabkan kesemua pengamal media terperangkap di dalam bangunan sebelum menunggu ketibaan pasukan bomba dan penyelamat.
Bagaimanapun, situasi cemas berkenaan rupa-rupanya merupakan sebahagian daripada Latihan Kebakaran dan Pengungsian yang dianjurkan oleh Forest City di Pusat Kewangan Fasa 1 sebagai langkah kesiapsiagaan keselamatan dan tindak balas kecemasan.
Latihan bersepadu itu melibatkan kerjasama beberapa agensi utama termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menguji kecekapan prosedur kecemasan dalam persekitaran bangunan bertingkat tinggi berkonsepkan guna campuran.
Jurucakap Forest City, Ir. Syarul Izam Sarifudin berkata, latihan tersebut mencerminkan pendekatan proaktif syarikat dalam memastikan keselamatan penduduk, penyewa, kakitangan dan pengunjung.
“Latihan ini bukan sekadar simulasi, sebaliknya satu pengajaran penting khususnya mengambil iktibar daripada insiden kebakaran bangunan bertingkat tinggi yang berlaku di Hong Kong baru-baru ini.
“Ia mengingatkan kita tentang kepentingan kesiapsiagaan, komunikasi yang berkesan serta tindak balas pantas dan terselaras dalam menghadapi situasi kecemasan,” katanya.
Terdahulu, seramai 44 anggota penyelamat terlibat termasuk Penyelamat Kebakaran Forest City dan agensi penguatkuasa serta keselamatan terlibat dalam simulasi kebakaran terbabit.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat dan Keselamatan Forest City, Datuk Abd Aziz Ahmad selaku Pengarah Latihan berkata, latihan tersebut memberikan input penting dalam menilai tahap kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan penyelarasan antara agensi terlibat.
“Kerjasama dan profesionalisme semua agensi membolehkan latihan ini dilaksanakan dengan lancar, dan pengajaran yang diperoleh akan digunakan untuk terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan sebenar,” katanya. – Majestic
