JOHOR BAHRU: Dua wanita Filipina didenda RM5,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki kad pengenalan palsu.
Jika gagal membayar denda tersebut, mereka akan dipenjara enam bulan.
Tertuduh, Nuraina Asmawil, 33, dan Janida Daimun, 53, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Nuraina yang bekerja sebagai penyelia syarikat pembersihan di sebuah pusat beli-belah didakwa memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama dua individu.
Janida yang bekerja sebagai pekerja pembersihan turut didakwa memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama seorang individu sebagai identiti dirinya.
Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor, kira-kira jam 7 malam pada 8 Disember lalu.
Kedua-duanya didakwa di bawah Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Noor Aliah Yaacob, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Norasyikin Md Jabarulla. – Majestic
