Pegawai kanan polis ditahan SPRM minta rasuah RM8,000

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara dua ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana meminta dan menerima rasuah kira-kira RM8,000 untuk melepaskan kes.

BH difahamkan, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditangkap berasingan dalam operasi pada Jumaat dan Sabtu lalu oleh sepasukan pegawai SPRM di sekitar Kuala Lumpur.

Sumber berkata, aktiviti rasuah itu sebagai balasan tidak meneruskan siasatan ke atas satu kes pergaduhan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat dengan suspek lelaki yang menjadi orang tengah meminta wang rasuah bernilai kira-kira RM8,000.

“Suspek lelaki itu dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan kemudian memberikan wang itu kepada suspek wanita terbabit secara tunai,” katanya di sini hari ini.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 bagi suspek wanita, manakala suspek lelaki disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan pegawai kanan polis itu direman mulai Ahad lalu hingga esok.

Seorang lagi individu direman bermula Sabtu lalu hingga Jumaat ini oleh Majistret Chan Jia Kay, selepas kedua-dua permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Mahkamah Majistret Putrajaya. – BH

More From Author

Pesakit kanser, ibu tunggal Johor bakal dapat bantuan RM300

Ini bukan kali pertama saya diceraikan – Isteri Faisal Halim