PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, diminta memberikan penjelasan berhubung laporan berita yang mendakwa Elaun Tugasan Atas Panggilan (ETAP) untuk pegawai perubatan tidak dapat dinaikkan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dalam satu hantaran melalui Facebook beliau, hari ini, berkata jika benar kenyataan Dr Dzulkefly itu sebagaimana disiarkan portal Code Blue pada pertengahan bulan lalu, ia menyebabkan pegawai perubatan terasa ditipu dan kecewa berikutan pengumuman sebelum ini menyatakan sebaliknya.
Beliau berkata, Dr Dzulkefly pada tahun lalu dan awal tahun ini dilapor mengumumkan akan ada kenaikan elaun itu, sekali gus membuatkan petugas kesihatan berasa dihargai biarpun ia tidak setinggi bayaran lokum di hospital swasta.
“Saya ingin bertanya kepada Menteri Kesihatan, adakah kenyataan bahawa elaun ‘on call’ bagi pegawai perubatan tidak dapat dinaikkan, adalah benar?
“Bukan soal duit, tetapi soal mereka yang bekerja siang dan malam untuk menjaga pesakit, tinggalkan masa bersama keluarga untuk menjaga pesakit… perlu dihargai segala pengorbanan mereka ini.
“Kalau elaun menteri boleh beribu ringgit nilainya, takkanlah kita nak biarkan mereka ini kekal dengan hanya elaun yang tidak setimpal dengan usaha mereka,” katanya.
Dr Muhamad Akmal berkata, beliau bimbang layanan sedemikian akan menyebabkan lebih ramai lagi doktor dan petugas kesihatan yang lain berhijrah ke negara luar sehingga memberi kesan kepada pengoperasian sistem kesihatan negara.
“Sekali lagi saya nak tegaskan, ini bukan soal duit elaun tetapi soal penghargaan kerajaan terhadap mereka yang banyak berkorban ini.
“Jika YB Menteri nak lebih faham, saya mencadangkan YB Menteri bersama menteri yang lain untuk kerja bersama mereka di hospital selama seminggu, dan saya pasti pak menteri semua akan lebih memahami jiwa dan kesukaran petugas kesihatan kita dengan lebih baik.
“Kerana jika hanya duduk di kerusi empuk, nescaya kita tidak akan mampu memahami mereka dengan baik,” katanya.
Beliau sekali gus meminta Dr Dzulkefly memaklumkan secara jujur jika benar elaun itu tidak boleh dinaikkan, dan bukan memberi harapan kepada petugas perubatan yang akhirnya hanya tinggal harapan.
Pada 14 Julai lalu, portal Code Blue melaporkan Dr Dzulkefly berkata, pegawai perubatan kerajaan tidak akan menikmati kenaikan ETAP seperti yang diperuntukkan dalam belanjawan sebelum ini.
Laporan itu antara lain memetik beliau berkata, ia berpunca daripada ketidakupayaan KKM untuk melaksanakan sistem syif Waktu Bekerja Berlainan (WBB) berikutan kekurangan pegawai perubatan yang mencukupi. – BH
