KUALA LUMPUR: Selangor FC memulakan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Perlawanan Sumbangsih) 2025 dengan kejutan dengan meniru gaya sepak mula juara Eropah, PSG.
Pada masa ini, admin merasakan bakal ada kejutan, bakal ada tekanan tinggi seperti mana dilakukan oleh Les Parisiens di perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sehingga mengakibatkan Inter Milan lemas.
Rupa-rupanya lain pula yang jadi, melalui satu serangan balas Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatatkan gol pertama selepas seminit perlawanan berlangsung menerusi penyerang baharu Jairo Da Silva.
Kemudian JDT terus menjadi JDT, mereka hebat dalam penguasaan bola bahkan ada satu masa Joao Figueredo menghantar bola tanpa perlu melihat rakan yang ada di sebelah.
Justeru, tidak hairan sekiranya pundit yang juga bekas pemain sayap bersayap Kedah dan Malaysia, Khyril Muhymeen Zambri merasakan persiapan JDT di Sepanyol menjadi tembok membezakan mereka dengan pasukan lain.
Bukan itu sahaja, satu lagi faktor jelas yang membezakan JDT dengan lawan adalah stamina, tiga pertahanan Harimau Selatan tampak mudah mematahkan gerakan Willian Lira dan Chrigor Moraes.
Lira nampak ‘berat’, bola 50-50 kebanyakkannya dimenangi oleh pemain JDT, kemudian dia koyak salahkan itu dan ini, kalau stamina sudah ke laut bagaimana untuk mengharungi 90 minit perlawanan?
Itulah yang berlaku, lihat sahaja permainan pada separuh masa kedua, Gergasi Merah hilang intensiti sehingga mudah bagi Eddy Israfilov dan superstar, Arif Aiman mengoyakkan pintu gawang mereka.
Selangor FC pada hematnya tidaklah bermain buruk, benar kata kapten mereka Nooa Laine bahawa pemain baharu berjaya mempertingkatkan kualiti permainan pasukan.
Mereka menjaga disiplin pertahanan dengan baik, berlari dan sentiasa fokus dengan aliran serangan JDT. Dalam aspek ini mata admin tertumpu kepada Sharul Nazeem Zulpakar, keras!
Bahkan, ada masa, ada ketika Gergasi Merah memiliki kesempatan, itulah bola sepak peluang pasti ada, tapi keputusan akhir mahu meletak bola di mana menjadi masalah utama.
Tidak klinikal, peluang ada tapi tak klinikal itu parah. Tiga, empat peluang terhidang namun seperti ada halangan persefahaman atau mungkin gugup?
Tahniah kepada JDT dengan keputusan 3-0 di halaman sendiri yang mungkin boleh menjadi petanda satu lagi musim hebat menanti mereka, pada Selangor FC masih ada ruang untuk dibaiki, admin harapkan kebangkitan selepas ini. – Majestic