Lagi foto tular pemilik kenderaan Singapura isi RON95 di Johor

JOHOR BAHRU: Kurang seminggu pihak berkuasa menyiasat kes pemilik kenderaan mewah dari Singapura mengisi petrol RON95 di Iskandar Puteri, dekat sini, kes sama berulang hari ini dengan kali ini di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) pula.

Ia susulan satu foto yang tular di media sosial sejaka tengah hari tadi memaparkan seorang lelaki sedang mengisi petrol RON95 ke dalam kenderaan dengan nombor pendaftaran negara jiran itu.

Berdasarkan foto yang dimuat naik pengguna media sosial itu, kejadian dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di SDE.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, mengesahkan siasatan sedang dijalankan susulan foto tular itu.

Beliau berkata, semakan turut dilakukan dengan lokasi kejadian di bawah penguatkuasaan KPDN Johor Bahru.

“Apa yang dikesalkan pam berkenaan berada betul-betul berhadapan kaunter stesen minyak dan insiden ini seharusnya dapat dielakkan jika petugas stesen minyak lebih cakna.

“Bagaimanapun, KPDN Johor akan menghantar anggota ke stesen minyak berkenaan bagi membuat siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam masa terdekat.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian stesen minyak,” katanya ketika dihubungi.

Selasa lalu, KPDN Johor dilaporkan sudah meneliti rakaman kamera CCTV sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri, susulan foto tukar mengenai sebuah kenderaan mewah dengan nombor pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95.

Lilis Saslinda dilaporkan berkata pegawai KPDN berada di stesen minyak berkenaan bagi membuat pemeriksaan lanjut termasuk melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

Isnin lalu pula, tular di media sosial, gambar seorang pemilik kenderaan mewah bernombor pendaftaran Singapura dilihat sedang mengisi RON95 di dalam sebuah botol plastik besar di sebuah stesen minyak yang didakwa berlaku di Nusa Sentral, Iskandar Puteri.

Pemilik kenderaan berkenaan turut didakwa mengisi RON95 ke dalam kenderaannya dahulu sebelum mengisi petrol sama ke dalam botol plastik besar.

Pengerusi Jawatankausa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han, berkata tindakan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada pengusaha stesen minyak, sebaliknya diperluas kepada pemandu kenderaan asing yang mengisi petrol bersudsidi RON95.

“Kerajaan Johor menggesa peraturan sedia ada dikemas kini supaya tindakan boleh diambil terhadap pemandu kenderaan asing yang mengisi petrol RON95.

“Kita memang tekankan supaya peraturan diubah supaya tindakan boleh diambil terhadap pemandu dan bukan hanya pengusaha stesen minyak sahaja.

“Bagaimanapun langkah itu memerlukan pertimbangan dan kelulusan di peringkat Kerajaan Persekutuan memandangkan ia membabitkan bidang kuasa agensi pusat seperti KPDN,” katanya. – BH

More From Author

Peguam Negara arah gali semula kubur Zara Qairina

Selangor FC seperti dijangka ‘bungkus ikat tepi’, JDT sedut pakai 3 straw