‘Ia keputusan Joehari sendiri’

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menjelaskan bahawa peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Ayub sebagai presiden badan induk itu adalah keputusan peribadi tanpa membabitkan sebarang campur tangan pihak luar atau ‘tangan ghaib’.

Perkara itu dijelaskan Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sambil menegaskan spekulasi yang mendakwa wujud tekanan daripada pihak lain untuk memaksa keputusan peletakan jawatan Mohd Joehari itu adalah tidak benar.

Beliau berkata, pentadbiran FAM ketika ini berjalan seperti biasa dan barisan Exco FAM menghormati keputusan yang dibuat Mohd Joehari selain memastikan badan induk itu bergerak mengikut perlembagaan.

“Tidak timbul (isu) campur tangan. Ini keputusan peribadi dia. Satu orang yang nak meneruskan atau nak meninggalkan jawatan, itu keputusan peribadi dia. Saya tak boleh jawab kenapa dan apa alasan lain.

“Kalau kita tengok dekat sini, tiada apa-apa pun yang luar biasa boleh kata. Apa pun, dalam FAM ini bekerja seperti biasa. Spekulasi semua orang boleh timbulkan, namun kami di FAM ini, tak ada. Kami hormati keputusan dia.

“Dia sudah meletakkan jawatan, kita hormati sahaja. Semua orang boleh cakap andaian masing-masing,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, hari ini.

Mohd Joehari sah meninggalkan FAM selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, kelmarin menerima peletakan jawatannya sebagai presiden badan induk itu.

Ia menyaksikan beliau hanya berada di kerusi panas itu lebih kurang enam bulan selepas menang tanpa bertanding pada kongres pemilihan, 15 Februari lalu.

Mohd Joehari menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang menjadi Presiden FAM sejak 14 Julai 2018 untuk tempoh selama dua penggal iaitu 2018-2021 dan 2021-2025, sebelum membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan itu.

Malah, beliau yang sebelum ini memikul tugas sebagai naib presiden juga mencipta sejarah menjadi individu pertama dari Borneo yang dilantik menjadi presiden dalam sejarah FAM yang ditubuhkan 99 tahun lalu.

More From Author

Richard Chin ganti Machuca

Ajaran sesat: Ambil tindakan tegas segera – MB