Guru BI buat ‘content’ Zara ‘dimasukkan’ ke mesin basuh didakwa

SEPANG: Seorang guru bahasa Inggeris wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan menimbulkan kegentaran awam menerusi akaun TikTok berhubung Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Bagaimanapun tertuduh Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan wanita itu didakwa membuat kenyataan di akaun TikToknya yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Tertuduh didakwa membuat kenyataan itu pukul 1.20.petang pada 6 Ogos lalu yang mana
kenyataan itu kemudian dilihat dan didengar oleh seorang anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini.

Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 9 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan guru Bahasa Inggeris yang memuatnaik video memaparkan kononnya Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh, mengakui ia hanyalah sekadar ‘content’.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata guru terbabit yang memuatnaik video terbabit sehingga tular di media sosial, membuat pengakuan itu selepas ditahan polis.

Menurutnya, pihaknya kesal dengan tindakan seperti itu kerana ia sudah mempengaruhi sebahagian rakyat Malaysia, sedangkan fakta yang dikemukakan adalah palsu.

Katanya, guru terbabit sudah ditahan dan akan dituduh jika mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC). – KOSMO! ONLINE

More From Author

Daging babi bertukar biru

Satu wad sebak, nama bayi Zara Qairina