Gempa bumi ketujuh berskala kecil di Johor, tiada sebarang gegaran dirasai

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi berskala kecil berukuran 2.9 magnitud melanda perairan Johor Barat berhampiran Batu Pahat pada jam 1.57 petang tadi, namun tiada sebarang gegaran dirasai di daratan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata kejadian itu dilaporkan di laut dan magnitud di bawah 3.0 tidak dianggap signifikan jika tiada gegaran dirasai.

“Gegaran tidak dirasai oleh sesiapa, jadi ia dianggap tidak signifikan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Ini adalah gempa bumi ketujuh di Johor dalam tempoh seminggu. Semalam, satu gempa bumi lemah berukuran 2.7 skala Richter turut melanda Segamat pada jam 7.29 pagi.

Gempa semalam dikesan kira-kira 2 kilometer barat laut Segamat, pada kedalaman 10km.

Sebelum ini, lima gempa bumi direkodkan bermula 6.13 pagi pada 24 Ogos lalu berukuran 4.1 skala Richter, diikuti gempa kedua pada hari sama berukuran 2.8 skala Richter. Seterusnya, pada jam 8.59 pagi Rabu (3.2), 7.56 pagi Khamis (2.5), dan 4.24 pagi Jumaat (3.4). – BH

More From Author

Kejohanan Dunia: Tang Jie-Ee Wei juara dunia

Gelar rakyat sebagai ‘tolol’, rumah wakil rakyat Indonesia musnah