Empat lelaki didakwa rogol kanak-kanak 11 tahun

SEREMBAN: Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun 10 bulan di sebuah rumah di Jempol, minggu lalu.

Tertuduh, Y Sayrran Kumar, 21, yang bekerja sebagai mekanik; Thineshwaran, 30, merupakan pemandu lori; G Niresh Pillai, 21, mekanik; dan K. Kumar, 40, pemilik perkhidmatan pengangkutan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh telah merogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun 10 bulan di sebuah bilik rumah di Taman Meranti, Bahau, Jempol.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 23 Ogos 2025 antara jam 11 pagi hingga 3.30 petang.

Selain itu, Sayrran Kumar turut didakwa merogol mangsa sama pada Jun 2025 kira-kira jam 11.30 pagi di tempat duduk belakang sebuah kereta jenis Perodua Myvi di hadapan Padang Taman ACBE, Jempol.

Dia turut didakwa merogol seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di rumah sama pada 23 Ogos 2025 antara jam 11.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Berikutan itu, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Ketika prosiding, peguam Revin Kumar mewakili Sayrran Kumar dan Niresh Pillai; S. Virochean mewakili Kumar; manakala Ramzani Idris mewakili Thineshwaran.

Mereka memohon jaminan minimum bagi anak guam masing-masing atas alasan antaranya mempunyai masalah kewangan dan kesihatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh dengan syarat tambahan.

Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa merupakan kenalan kepada kesemua tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM30,000 bagi tiga pertuduhan terhadap Sayrran Kumar, manakala Kumar dan Thineshwaran masing-masing RM10,000, dan Niresh Pillai RM5,000.

Kesemua mereka juga diarahkan supaya tidak mengganggu saksi, melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport sekiranya ada.

Mahkamah menetapkan 15 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – Sinar Harian

More From Author

Bukan rezeki kami – DinFei

Pendaki diselamatkan sempat berbelanja di pasar ‘bunian’