KUALA LUMPUR: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Kerajaan Negeri Johor segera mengarahkan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) menarik balik arahan penutupan selama 30 hari sebuah premis pergigian swasta yang didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan penutupan selama 30 hari itu disifatkan keterlaluan dan hukuman tersebut tidak setimpal dengan kesalahan.
Menurutnya, tindakan MPPn itu juga melampaui kuasa dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tatakelola kerajaan tempatan.
Tambahnya, segala keputusan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) sewajarnya mempertimbangkan impak atau kesan kepada orang awam, bukannya menghukum secara membuta tuli seperti polis moral.
“Tindakan memasang bendera secara tidak betul adalah salah dan memang tidak dapat dinafikan wujudnya kecuaian, namun hukuman untuk menutup operasi selama sebulan adalah tidak wajar.
“Sepanjang tempoh tersebut, pesakit yang telah membuat janji temu, termasuk kesemua yang telah mengaturkan untuk pembedahan dan sebagainya terpaksa ditangguhkan tarikhnya atau mencari doktor lain,” katanya.
Semalam, Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsuddin mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan notis penutupan kepada sebuah klinik yang didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sehingga tular di media sosial.
Menurut Abdul Azim, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP 2019, iaitu berhubung kewajipan pengibaran bendera.
Sementara itu, Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY menambah, keputusan menutup premis tanpa pertimbangan budi bicara yang munasabah bertentangan dengan prinsip “proportionality” dalam penghukuman.
Ujarnya, penguatkuasaan PBT perlu berfakta, berasas, mengikut konteks dan mengambil kira keadaan sebenar, bukan “one-size-fits-all”, selain tidak harus membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
Lebih membimbangkan, katanya, adalah amalan dwistandard dalam isu bendera apabila kesilapan serupa melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM); Pas Terengganu dan Pemuda UMNO Terengganu tidak dikenakan tindakan berat, tetapi peniaga kecil dihukum dan diaibkan golongan ekstremis.
“Amalan sedemikian telah mewujudkan persepsi buruk dan semakin menghakis kepercayaan awam serta meningkatkan rasa tidak puas hati rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
