KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan kesanggupan untuk disiasat di bawah Akta Hasutan sekiranya itu harga yang perlu dibayar demi mempertahankan kehormatan negara.
Jelasnya, pendirian tersebut selari dengan pendirian beliau sebelum ini yang menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak yang memperkotak-katikkan Jalur Gemilang.
“Jika inilah harga yang perlu saya bayar untuk mempertahankan kehormatan negara tetapi disiasat di bawah Akta Hasutan, saya kata saya takkan berganjak dan saya beri kerjasama dengan baik.
“Jika ini harga yang perlu saya bayar, maka saya harap rakyat boleh sedar bahawa orang yang buat kesalahan dianggap hero, tapi bila kita nak memperbetulkan keadaan dianggap sebagai bersalah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, awal pagi tadi.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Akmal tiba di IPD Dang Wangi pada pukul 11 malam tadi bersama peguamnya, Aizat Azam dan beberapa peguam lain.
Kehadirannya bagi memberi keterangan berhubung demonstrasi di hadapan sebuah kedai di Kepala Batas, kelmarin.
Lebih 50 penyokong hadir untuk memberikan sokongan kepada Muhamad Akmal sepanjang proses rakaman keterangan dijalankan.
Mengulas lanjut, Muhammad Akmal bekata himpunan yang diadakan di Kepala Batas, kelmarin berlangsung secara aman tanpa sebarang provokasi.
“Kita berjaya lakukan himpunan itu dengan aman dan tidak seperti yang digembar-gemburkan bahawa kita datang dengan kekerasan. Rakyat Malaysia masih mampu berfikir, namun mereka juga ada hati dan perasaan untuk menghormati lambang ini (Jalur Gemilang),” katanya.
Katanya, isu mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik bukan perkara baharu kerana ia kerap berlaku setiap kali bulan kemerdekaan.
“Sekiranya tiada hukuman yang keras dan tiada tindakan diambil terhadap pihak yang sesuka hati memperkotak-katikkan lambang negara ini, maka perkara ini akan berulang dan berulang setiap tahun.
“Jika kesilapan itu disengajakan seperti mengibarkan bendera secara terbalik dan meminta ia direkodkan, ia seolah-olah menghina rakyat Malaysia,” katanya.
Mengulas hubungan dengan DAP susulan kenyataan Pemuda DAP Pulau Pinang, yang menyeru kepimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengannya, Muhammad Akmal menegaskan himpunan itu tidak bermotifkan politik walaupun beliau daripada UMNO.
“Himpunan ini bukan untuk dipolitikkan. Ini soal menjaga kehormatan negara. Maka jika ada pihak DAP nak mempolitikkan tapi tuduh pula kita yang mempolitikkan, ‘by all means, bring it on’ (dipersilakan, teruskan),” katanya.
Kelmarin, Muhammad Akmal dilaporkan mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, BERSATU dan PAS dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik.
Sementara itu, Aizat berkata, proses rakaman percakapan anak guamnya di IPD Dang Wangi malam tadi berlangsung kira-kira dua jam bermula jam 11 malam dan selesai sekitar jam 1 pagi.
Beliau berkata, keterangan diambil berhubung dua laporan polis berkaitan Himpunan Solidariti Jalur Gemilang di Pulau Pinang dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Anak guam kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan menjawab kira-kira 80 soalan yang diajukan. Kami juga menghargai layanan profesional dan beretika pegawai polis sepanjang proses ini.
“Beliau (Muhammad Akmal) menegaskan tidak akan lari serta bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan proses undang-undang dipatuhi,” katanya.
