KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial dikenali sebagai CEO Batu bakal didakwa di dua mahkamah berasingan minggu ini atas dua pertuduhan membabitkan kes amang seksual bukan fizikal dan penyimpanan bahan lucah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata lelaki berusia 22 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Ampang esok, mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Pertuduhan kedua pula dijadualkan pada Jumaat ini di Mahkamah Selayang, mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana disyaki menyimpan gambar lucah dalam telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, suspek hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sebelum dikenakan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan.
Kes itu mencetuskan perhatian selepas penyanyi dan pempengaruh, Caprice, mendedahkan beberapa kiriman mesej didakwa dihantar suspek kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Difahamkan, Caprice turut menerima aduan daripada ibu mangsa yang mendakwa anaknya diganggu suspek menerusi mesej berunsur seksual serta gambar tidak senonoh.
Tangkap layar yang dikongsi memaparkan mesej bersama imej dipercayai dihantar suspek kepada mangsa, kononnya bagi menunjukkan kesan parut pembedahan. – BH
