KUALA TERENGGANU: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperkosa anak tiri perempuannya pada bulan lalu.
Tertuduh berusia 39 tahun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anak tiri perempuannya berusia 15 tahun 8 bulan pada pukul 3.30 petang, 16 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa pada pukul 5.30 petang, 18 Jun lalu.
Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di daerah Marang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun serta minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM36,000 dan seorang penjamin.
Dia turut dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi sehingga prosiding kes selesai. – KOSMO! ONLINE